Khamis, 9 Ogos 2012

BIDAAH DAN KHURAFAT

 Kertas Kerja: BIDAAH DAN KHURAFAT: KESAN NEGATIF KEPADA PEMBANGUNAN UMMAH,

(Y.Bhg. Prof Madya Mohamad Kamil Hj Ab Majid,Universiti Malaya)
Dibentangkan di Seminar Pembangunan Ummah 2002, P.Pinang. Tarikh: 10 -11 Julai 2002

Pendahuluan
 Sering disebut hadis nabi yang bermaksud, semua bidaah itu sesat. Tetapi ramai mereka yang kurang menjelaskan apa sebenarnya bidaah yang sesat itu. Justeru itu Imam al-Shatibi dalam kitab al-I’tisam, menjelaskan bidaah itu adalah "cara beragama yang direka bermaksud untuk melampau-lampau dalam beribadat". Justeru itu bidaah berkaitan ibadat, bukannya hal urusan dunia. Ini sesuai dengan maksud hadis nabi yang menyatakan; "Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami, perkara yang bukan sebenarnya dari agama, maka ia tertolak".(Muttafaq Alayhi, dari hadis Aisyah.)

Al-Quran justeru itu lebih awal, menerangkan kedatangan Rasul untuk membetulkan I’itiqad dan amalan yang salah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orangorang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhamad) dari bangsa mereka sendiri ,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keEsaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (daripada I’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (alQur’an) dan hikmat (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata” (al-Qur’an, Surah al-Jumu’ah 62:2).


Pada asasnya, segala urusan dalam perkara keagamaan ialah mengikut Sunnah, atau disebut dengan al-It-tiba. Sementara perkara yang berkaitan dengan dunia berasaskan rekaan al-Ibtida’. Ayat al-Quran al-Maidah:3 menyatakan: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Sementara hadis Rasulullah s.a.w. pula menyatakan "Anda lebih mengetahui dengan urusan dunia anda”

Berasas kepada mukadimah di atas, ternyata bahwa Islam menyempitkan urusan agama yang khusus iaitu ibadat daripada campurtangan manusia. Mereka sepatutnya hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Sementara dalam urusan keduniaan atau muamalat ia terbuka untuk manusia berkreativiti kecuali dalam perkara yang telah ditetapkan seperti haramnya riba, arak dan hukuman-hukuman yang telah ditentukan Allah s.w.t  

Dua Asas Pokok Ibadat
Islam mengasaskan ibadat atas dua asas utama. Pertama: Ibadat hanyalah kepada Allah. Apa-apa penyembahan yang lain selain daripada Allah, sama ada manusia menyembah bulan, bintang, matahari, patung, pokok, binatang atau menyembah sesama manusia, kesemuanya batil. Firman Allah bermaksud:

"Dan kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepada: "Bahawasa sesungguhnya tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan AKU; Oleh itu beribadatlah kamu kepada Ku"(aI-Quran, al-Anbiya’ :25).

Kedua: Penyembahan kepada Allah atau disebut ibadat tidak harus dilakukan kecuali dengan apa yang disyari’atkan dalam kitab Allah dan Sunnah RasuluLah s.a.w. Jadi setiap ibadat yang tidak mengikut kedua-dua sumber tersebut ia ditolak berasas maksud hadis yang sahih:
"Barangsiapa yang mengada-adakan dalam (urusan) agama ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan itu) tertolak." (Hadis Bukhari, Muslim).

Sementara hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidhi iaitu hadis Hasan lagi Sahih menyatakan:
"Dan jauhilah oleh kamu akan perkara-perkara yang baharu diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat."

Dengan hadis-hadis di atas, Rasulullah s.a.w. telah memelihara perkara keagamaan itu daripada dimasukkan dengan perkara lain seperti yang terjadi kepada agama-agama sebelum Islam yang menyebabkan urusan agama diselewengkan, ditambah-tambah perkara yang bukan-bukan, malahan agama yang asalnya mudah menjadi sukar, lebih malang yang halal diharamkan dan yang haram pula dihalalkan.

Sebagai contoh, dalam agama Nasrani timbulnya kerahiban melampau yang bercanggah dengan fitrah, lalu diharamkan perkahwinan, malah diharamkan banyak perhiasan yang asalnya dibolehkan oleh agama sehingga ada yang mengharamkan diri mereka dari menggunakan air atau membersihkan diri. Mereka menganggap kotor itu sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Tuhan. Kebersihan pula lebih mendekatkan kepada syaltan.

Sikap melampau seperti ini telah merosakkan agama terdahulu.Ini diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya jangan mengambil sikap melampau dalam ajaran agama. Begitu juga sebaliknya, Rasulullah melarang dari mempermudah-mudahkan atau tasahul dalam agama.

Adapun soal urusan dunia dibuka kaedah berkreativiti sehingga Rasulullah s.a.w. mengatakan: "Barangsiapa yang melakukan sunnah yang baik, maka ia mendapat ganjaran dan ganjaran dari amalan orang lain selepasnya tanpa mengurang sedikit pun ganjaran mereka itu" (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa’I Tirmidhi dan Ibn Majah).

Demikian apa yang berlaku pada zaman sahabat dan umat Islam zaman awalnya. Mereka cukup menjaga daripada berlakunya perkara baru dalam akidah, ibadat dan perkara-perkara dasar agama yang tidak boleh dikompromikan. Sebaliknya, dalam hal keduniaan mereka mencipta perkara baru termasuk bidang keilmuan seperti ilmu bahasa Arab, Usul Fiqh, Ulum alHadith, Usul Tafsir, Ulum al-Qur’an dan lain-lain. Mereka menterjemah ilmu-ilmu dari bahasa asing sehingga muncullah dari kalangan mereka kemudiannya ahli yang mahir dalam bidang perubatan, fizik, kimia, optik, matematik dan geografi.
Antara Khurafat dan Saintifik

Jika kita meneliti secara mendalam al-Qur’an sebuah kitab hidayah yang menekankan mentaliti saintifik atau ilmiah. Adapun sikap suka membenarkan apa sahaja cerita yang dibawa tanpa dianalisa atau diuji, apalagi pandangan turun temurun dari datuk nenek, maka mentaliti khurafat dan mentaliti pak turut amatlah bertentangan dengan seruan aI-Qur’an.


Ciri-ciri Islam yang menolak mentaliti pak turut atau khurafat ialah:

i- Kepercayaan Dan Amalan Berasaskan Keyakinan bukan Sangkaan(Dzan)

Dalam perkara asas atau pandangan hidup yang menyangkuti persoalan ketuhanan, alam, manusia dan kehidupan, isu-isu besar begini tidak boleh hanya berdasarkan kepada andaian atau sangkaan (dzan). Ia mestilah berasaskan ilmu yang benar, ertinya ilmu yang yakin. Mungkin perkara cabang atau furu' boleh sahaja setakat dzan. Orang-orang musyrikin dimurkai Tuhan justeru mereka hanya berpegang kepada sangkaan bukan
mereka. Firman Allah bermaksud:

"Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dan kebenaran (iktikad). Seseungguhnya Allah Amat Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (alQur’an: Yunus:36).

Firman Allah lagi:

"Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dan kebenaran (iktikad) (alQur’an, al-Najm:28)

Demikian sanggahan al-Qur’an kepada para penyembah yang tidak tahu sebenarnya apa yang disembah itu. Mereka hanya sekadar ikut-ikutan sahaja.


Malah al-Quran menegaskan majoriti penduduk dunia sesat kerana percaya dengan serkap jarang mereka:

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; Tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta”.

Sebagai contoh, bagaimana orang Kristian menyangka dan menjadi pegangan mereka bahwa Nabi Isa mati dibunuh dan disalib pada hal Allah menerangkan:

"Dan (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh al-masih Isa Ibn Maryam, rasulullah, pada hal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang-salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu serupa Isa). Dan sesungguhnya orang yang berselisih faham itu mengenai nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka pula tidak membunuhnya dengan yakin”

ii-Tidak Mengikut Nafsu dan Emosi
Sebagai mempertahankan sikap ilmiah, selain menolak serkap jarang, Islam juga menolak hawa nafsu dan emosi. Justeru itu seorang hakim yang sedang marah dilarang memutuskan sesuatu hukuman. Emosi menyebabkan orang tersesat dari kebenaran. Kaum musyrikin ditempelak oleh Allah s.w.t. kerana suka berpegang dengan ajaran atau amalan yang berasaskan dusta dan serkap jarang dan mengikut nafsu. Firman Allah

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya (bahwa dia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas lapisan pengelihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat pertunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)?, oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? (Surah al-Najm:23).

iii) Menolak Taklid Buta
Islam menolak perbuatan bertaklid buta kepada ajaran datuk nenek tanpa diuji terlebih dahulu kebenarannya. Tidak menasabah orang terdahulu memaksa secara moral sehingga kita yang lebih terpelajar hanya terpaksa mengikut sahaja pandangan orang yang sudah berlalu tanpa berfikir panjang. Allah menentang sikap jumud dan taklid seperti dalam surah alBaqarah:170,171:
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah akan apa yang telah diturunkan Allah. Mereka menjawab: ”Tidak” bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya.” Patutkah mereka menurutnya, sekalipun datuk nenek mereka itu tidak faham suatu (apa pun tentang perkara-perkara agama dan tidak pula mendapat pertunjuk hidayat (dari Allah). Dan bandingan (orang yang menyeru orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari hanya mendengar suara panggilan sahaja, (mereka itu), ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.”

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (al-Quran) dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya), mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya", Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayat petunjuk?” (al-Qur’ an, al-Maidah:104).

Hal berkaitan boleh juga dirujuk kepada Hud:109, al-Zukhruf 22-24, al-A’raf:70, Hud:62, al-Anbiya’: 52-54, Ibrahim:10 dan lain-lain.

iv- Menolak Menjadi Pak Turut Pihak Yang Zalim
Bukan sahaja tempelakan al-Qur’ an kepada Pak Turut datuk nenek, tetapi juga Islam menempelak jumud akal bangsa dan umat yang tunduk kepada kezaliman. Baca sahaja kisah para nabi yang tidak boleh mengikut membuta tuli kezaliman dan kekufuran pada zamannva. Tetapi mereka sentiasa menggunakan akal, berfikir, justeru merenung dan berfikir adalah ibadat. Al-Quran banyak menceritakan pada hari akhirat berlaku permusuhan dan pertengkaran antara pengikut dan pemimpin yang saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Firman Allah:

"Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya) "Alangkah baiknya kalau dahulu kami (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar” (al-Ahzab:66-67).


"Ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas dari diri orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab siksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut” Alangkah eloknya kalau kami dikembalikan semula ke dunia maka (dengan itu dapat) kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!”. Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka." (al-Baqarah l66-167).

V-Menolak Dakwaan Tanpa Bukti
Antara ciri mentaliti saintifik Islam ialah tidak menerima mana-mana dakwaan tanpa bukti yang mempersaksikan kebenaran. Setiap muslim dikehendaki beriman berdasarkan kepada dalil dan alasan. Terpesongnva fahaman Jabariyyah kerana menganggap kesesatan itu atas kehendak Allah yang dipaksakan ke atas mereka. Mereka seolah-olah tidak mempunyai kuasa, ikhtiar dan kemahuan lagi.
Berpegang Teguhlah Dengan Sunnah Bukan Bidaah dan Keyakinan Bukannya Khurafat
Berasaskan penjelasan di atas ternyata antara perkara yang dikira maksiat ialah melakukan bidaah dan mempercayai khurafat. Bidaah itu pula sama ada dalam bentuk amalan atau iktikad. Bahayanva bidaah berbanding dengan maksiat lain justeru pengamal bidaah menganggap mereka sedang mendekatkan diri kepada Allah, pada hal mereka melakukan dosa secara yang mereka tidak sedar. Puncanya adalah kejahilan dan tidak cukup ilmu pengetahuan. Firman Allah bermaksud:

"Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samaada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkannya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan (sebarang) bukti (yang membenarkannya) dan (diharamkannya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui”.(Al-Quran, al-A'raf: 33).

Sementara itu mengada-ngadakan hukum yang tidak ada, menghalalkan yang haram atau sebaliknya menghalal yang haram diperingatkan oleh Allah dengan FirmanNya:

"Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram dan sebahagiannya halal? "Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah mengizinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?" (Yunus:59).

Bidaah dikatakan oleh Ibn Taymiyyah lebih disukai oleh Iblis dan maksiat lain kerana ia bertentangan dengan agama. Pengamalnya tidak bertaubat, malah mereka menyeru pula kepada orang lain kepada amalannya. Malah lanjut Ibn Taymiyyah lagi, bidaah berperingkat-peringkat. Ada bidaah yang boleh di anggap mughalladzah iaitu yang boleh membawa pengamalnva menjadi kafir, seperti bidaah yang dilakukan oleh ajaran salah atau ajaran sesat, malah sebahagian mereka lebih bahaya dari Nasrani dan Yahudi lagi. Mungkin ajaran Qadiani boleh dijadikan contoh bidaah kepercayaan yang membawa kekufuran. Ada pula yang tidak sampai kepada kafir tetapi termasuk dalam kategori fasiq. Mereka mungkin terdiri dari mereka yang panjang sembahavang atau puasanya, tetapi akidah mereka yang terjebak dalam bidaah. Fahaman Mu'tazilah pada masa dahulu justeru mendahulukan akal dan wahyu terjebak dalam bidaah yang membawa kepada rosaknya amalan mereka.

Ada pula bidaah mukhaffafah. Dimana bidaah ini menjadi perselisihan mazhab-mazhab seperti tawassull dengan Nabi Muhammad, tawassul dengan orang-orang Salih yang dianggap bidaah oleh mazhab ahil Hadis (Wahabi). Bidaah ini dilakukan oleh pihak lain dengan mengunjungi kubur keramat dan nazar yang bukan-bukan.
Sunnah: Antara Pelampau Ketat (ghulat) Dan Pelampau longgar (muqsirin)

Apakah semua sunnah menjadi tasyri’?? Inilah yang mengelirukan banyak pihak sehingga ada yang menganggap tidak melakukan sunnah bererti melakukan bidaah. Puak ini ingin menjadikan semua sunnah sebagai amalan wajib kepada semua orang tanpa mengira zaman dan tempat.Tidak dapat dibezakan antara sunnah umum dan sunnah khusus. Justeru itu apabila nabi menggunakan mimbar tiga anak tangga, maka mereka mahu diwajibkan sekarang mimbar tiga anak tangga. Sedangkan mimbar nabi adalah kesinambungan dari mimbar batang tamar sebelumnya. Apakah kerana nabi membawa tongkat, maka wajib atau sunat pula bagi orang lain membawa tongkat, meskipun ia tidak diperlukan. Malah kalangan ahli agama sendiri secara sinis menegur kalau ada khatib yang tidak memegang tongkat pada masa membaca khutbah, kononnya tidak mengikut sunnah.

Di satu pihak lain pula ada golongan yang ingin menyingkirkan sunnah dan persoalan kehidupan atas alasan ianya perkara muamalat, urusan ekonomi, politik, pentadbiran, perang dan sebagainya seolah-olah sunnah tidak campur tangan berhujahkan hadis: "Anda lebih tahu dengan urusan dunia anda”.


Apa yang harus difahami perselisihan antara golongan yang keterlaluan ingin menjadikan segala-galanya sunnah yang diwajibkan sehingga menolak cara makan moden atas meja dengan sudu dan garpu. Kalau makan semestinva duduk atas tanah dan dengan tangan. Sedang pihak lain tidak kesah sama ada makan dengan tangan atau sudu, malah tidak kesah tangan kanan atau kiri.

Persoalan yang perlu jelas ialah manakah sunnah yang ditasyri' dan mana pula yang tidak ditasyri’. Dalam hubungan ini penjelasan Ibn Qutaybah amat releven dengan membahagikan sunnah itu kepada tiga:

a) Sunnah yang didatangkan oleh Jibril yang asasnya wahyu, maka sunnah itu wajib dipatuhi seperti tidak boleh dinikahi ibu saudara seibu sebapa berdasarkan hadis muttafak 'Alaih, haram mengahwini adik beradik susuan dan seumpamanya

b) Sunnah yang diharus mengikutnya dan menggunakan akal seperti haram memakai sutera.Tetapi ia dibolehkan pengecualian bagi mereka yang ada alasan, seperti Abdul Rahman Ibn ‘Auf diberi keizinan atas alasan tertentu. Sama juga larangan wanita menziarahi kubur pada awalnya, kemudian diizinkan semula.

c) Sunnah sekadar adab yang mulia, jika diamalkan ada kelebihannya dan jika ditinggalkan tidak membawa kemudaratan apa-apa.


Berhubung dengan itu, al-Qarafi mengatakan sunnah nabi itu ada berbagai, samada atas sifatnya sebagai pemimpin, mufti, kadi atau tabligh dari AlIah.Tetapi kebanyakan sunnah atas sifatnya menyampaikan apa yang datang dari Allah. Maka apa yang disampaikan sebagal tabligh hukumnya kepada semua manusia hingga ke akhir zaman. Apa yang diwajibkan menjadi wajib, apa yang diharuskan menjadi harus dan apa yang dilarang menjadi larangan.

Namun sebagai pemimpin, sunnahnya haruslah dilakukan dengan izin pemimpin. Sunnahnva sebagai hakim hanya boleh dilakukan dengan izin hakim.

Sebagai contohnya, mengutus tentera ke medan perang, membelanjakan harta baitul mal, melantik hakim, membahagikan harta rampasan perang adalah sunnah sebagai pemimpin. Sementara menyelesaikan perselisihan dalam harta benda, jenayah atas fizikal, memohon keterangan dan kesaksian adalah menjadi sunnah bagi hakim mengikutinva.

Kenyataan ini hampir sama dengan apa yang diterangkan oleh al-Dihlawi yang mengatakan sunnah yang wajib ialah disampaikan sebagai risallah dari Allah seperti hal mengenai akhirat yang berasaskan wahyu. Dalam hal ini tidak ada apa-apa ijtihad lagi. Sama juga yang berkaitan dengan ibadat, nilai-nilai akhlak Ada pun soal fadhilat amal, sebahagian berasaskan wahyu dan sebahagiannya adalah ijtihad nabi.

Antara perkara yang bukan dari wahyu malah ia semata-mata pengalaman nabi seperti dalam hal perubatan, adat yang tidak berupa ibadat seperti bertongkat, atau juga sesuatu yang mempunyai maslahat semasa dan tidak untuk seluruh umat seperti mengutus tentera berperang waktu itu.

Rasyid Ridha mempunyai sikap yang hampir sama, di mana katanya, sunnah yang ditasyri' merujuk kepada ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah sama ada wajib atau sunat, atau kemudharatan yang dilarang. Jadi termasuk perkara yang mesti diikuti seperti tidak boleh memohon selain dari Allah, memakan sembelihan bukan kerana Allah. Tetapi jika ianya perkara adat yang tidak berkait dengan maslahat atau mafsadah seperti hal berkaitan pengalaman profesional ia merupakan irsyad bukan tasyri’, kecuali ada larangan keras seperti memakai sutera.

Hanya yang harus difahami melakukan sunnah dalam perkara adat adalah baik, meskipun tidak wajib atau sunnat sebagai menandakan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. dengan syarat tidak menganggapnya sebagai kewajipan agama, justeru dalam agama tidak boleh ditambah-tambah seperti juga tidak bolah dikurang-kurangkan.

Bid'ah dan Khurafat Mengganggu Pembangunan Ummah
Seperti diketahui, sistem ibadat dalam Islam adalah sistem yang lengkap melengkapi dengan sistem Islam yang lain bagi meningkatkan manusia ke tahap khalifah di muka bumi. Ibadat yang betul dan sempurna seperti dikehendaki agama tidak menggalak orang menyisihkan diri dari masyarakat. Pengubah suaian ibadat dan apa yang ditentukan Allah dan Rasul akan membawa kepada perpecahan. Perpecahan pula akan membawa kepada halangan pembangunan ummah.

Sistem ibadat yang tepat akan meletakkan umat pada satu kesatuan akidah dan amalan yang sempurna.Ia menimbulkan masyarakat yang bekerjasama, bantu membantu dan terbina akhlak yang mulia.

Begitu juga dengan khurafat yang timbul dan syak wasangka, menurut nafsu dan terlalu beremosi, bertaklid buta, menjadi pak turut, berpegang kepercayaan tanpa bukti yang betul melahirkan masyarakat yang tidak akan membangun. Ia banyak membawa unsur yang meruntuhkan dari yang membangun. Justeru itu unsur-unsur khurafat mestilah dijauhi.

PENUTUP
Sebagai kesimpulan, kebanyakan sunnah samada dalam bentuk amalan atau perkataan Rasulullah s.a.w. adalah ditasyri' seperti maksud firman:

"Dan ikutilah Rasulullah mudah-mudahan kamu mendapat pertunjuk".(alA’raf: l58).

Sunnah ini mesti diikuti. Adapun sunnah yang tidak mesti diikuti iaitu yang tidak ditasyri'kan atau apa yang disebut "Anda lebih tahu dengan urusan dunia anda". Jadi tidak timbul soal bidaah atau tidak dalam perkara keduniaan ini, dari segi teknikalnya.

Perkara yang mengelirukan masyarakat umum terutamanya, yang berkaitan dengan makan minum, pemakaian, perhiasan, perubatan, maka ia harus dilihat sebagai bukan bersifat umum tetapi khusus untuk keadaan tertentu atau menyelesaikan keadaan semasa itu. Justeru itu, Sunnah yang dilakukan nabi sebagai pemimpin tertinggi, hakim pada dasarnva dipersetujui aspek prinsip, tetapi berlaku perbezaan dalam pelaksanaan secara terperinci.

Bahan rujukan:

- Bahagian Hal Ehwal lslam, Jabatan Perdana Menteri, Tafsir Pimpinan alRahman kepada Pengertian al-Qur’an, cetakan 10, 1990.
- Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri fi Mizan al-Syar’ wa al-‘Aql, IIIT, USA, 1991.
- Muhammad Qutb, Qabasat min al Rasul, Kahirah, 1962.
- Mustafa Abdul Rahman, Hadis 40, P.Pinang, 1996
- AL-Qaradhawi, al-Sunnah Masdaran Lil Ma'rifah Wa al-Hadharah,, cet11, 1998.
-------------------, al-Aql wa al-Ilm fi al-Quran al-Karim
------------------, Fi Fiqh al-Awwlawiyaat, Kahirah, 1996
Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Madarij al-Salikin, Kahirah, 1995




Tiada ulasan:

Catat Ulasan