Isnin, 29 Oktober 2012

السلام عليكم


Amanat Terakhir Rasulullah SAW

.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melakukan ibadah Haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah yang juga berlakunya peristiwa Haji Wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyampaikan khutbah atau amanat terakhirnya di hadapan sekumpulan besar kaum Muslimin yang kandungannya penuh dengan nilai akhlak dan persaudaraan. Seharusnya kita yang mengaku menyayangi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, mengambil peringatan dan sekaligus mengamalkan pesanan istimewa Baginda tersebut.
.
Amanat penting yang terangkum dalam khutbah perpisahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah seperti berikut:
.
Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda; “Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan!!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
·   Wahai manusia sekalian! Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
·   Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
·   Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Sesungguhnya syaitan itu masih terus berusaha (untuk mengganggu kamu) dengan cara yang lain. Syaitan akan puas jika kamu sekalian melakukan perbuatan tercela. Oleh kerana itu hendaklah kamu menjaga agamamu dengan baik.
·   Takutlah kepada Allah SWT dalam bersikap kepada wanita, kerana kamu telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan amanah Allah dan kehormatan mereka dihalalkan bagi kamu sekalian.
·   Wahai manusia sekalian! Sebagaimana kamu mempunyai hak (kewajipan) atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai kewajipan atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan kewajipan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
·   Layanilah wanita-wanita (hamba) kamu dengan baik! Berikanlah makan kepada mereka dengan apa yang kamu makan dan berikanlah pakaian kepada mereka dengan pakaian yang kamu pakai dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Jika mereka melakukan suatu kesalahan yang tidak boleh kamu maafkan, maka pulangkanlah hamba tersebut dan janganlah kamu menyeksa mereka.
·   Wahai manusia sekalian! Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
·   Ketahuilah kamu sekalian, bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Oleh sebab itu janganlah kamu menganiaya diri kamu sendiri.
Ya Allah, sudahkah aku menyampaikan mesej ini kepada mereka?
·   Ingatlah bahawa kamu akan menemui dan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
·   Wahai manusia sekalian! Tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
·   Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang teguh dengan apa yang aku tinggalkan itu dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
·   Hendaklah orang-orang yang hadir mendengar ucapanku ini menyampaikannya kepada orang lain yang tidak hadir dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitulah seterusnya. Mungkin nanti orang yang mendengar berita tentang khutbah ini lebih memahami kata-kataku ini dari kamu yang mendengar terus dariku pada hari ini.
.
Kalau kamu semua nanti akan ditanya tentang kau, maka apakah yang akan kamu katakan?
Semua yang hadir menjawab, “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tentang kerasulanmu, engkau telah menyampaikan amanah, dan telah memberikan nasihat.”
Sambil menunjuk ke langit, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudian bersabda; Saksikanlah Ya Allah! Bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
.
(HR. Bukhari dan Muslim).