Indahnya
Rupa Fizikal Rasulullah SAW
"Bismillah walhamdulillah. Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad, kama sollaiTA `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim. InnaKA Hamidun Majid.
Berikut ini saya petik beberapa hadith yang menerangkan ciri-ciri fizikal insan yang kita telah banyak terhutang budi dengannya, insan yang kita cinta, insan yang kita kasih, insan yang kita ikut, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Hadith-hadith ini telah saya salin dari kitab yang sangat terkenal iaitu
kitab Syama’il Muhammadiyah (kesempurnaan Nabi Muhammad) yang disusun
oleh Imam at-Tirmidzi. Kitab ini yang menyenaraikan sifat-sifat fizikal,
sifat-sifat akhlaq dan cara kehidupan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam
secara agak terperinci.
Hadith 1:
Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:
- “Aku melihat Rasulullah pada
suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu, Baginda memakai
pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih berganti.
Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama” (HR at-Tirmidzi)
Hadith 2:
Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:
- “Rasulullah bukanlah orang yang
terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih
pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan
tidak juga lurus. Baginda diutus oleh ALLAH menjadi Rasul pada usia empat
puluh tahun. Baginda diwafatkan oleh ALLAH dalam usia enam puluh tahun,
dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan
janggutnya.” (HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi)
Hadith 3:
Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:
- “Rasulullah adalah seorang yang mempunyai tubuh
yang sedang, tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus.
Rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus. Warna kulit Baginda putih
kemerahan. Jika berjalan, pergerakannya condong ke hadapan.” (HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi)
Hadith 4:
Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
- “Rasulullah merupakan seorang lelaki yang bertbuh
sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara
kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambut yang lebat terurai ke
bahu sampai ke telinganya. Apabila Baginda memakai pakaian berwarna merah,
aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya.” (HR at-Tirmidzi, al-Bukhari,
Muslim, Abu Daud)
Hadith 5:
Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
- “Aku tidak pernah melihat orang yang memiliki
rambut yang menyentuh sehingga bawah telinga (antara cuping telinga dan
bahu), dengan memakai pakaian yang berwarna merah, yang lebih tampan
daripada Rasulullah. Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua
bahunya. Kedua-dua belah bahu Baginda bidang. Baginda bukanlah seorang
yang rendah dan bukan juga tinggi.” (HR Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)
Hadith 6:
Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:
- “Rasulullah tidak tinggi dan tidak rendah.
Telapak tangan dan kakinya terasa tebal (dagingnya) namun lembut.
Kepalanya besar, tulang sendi besar. Terdapat bulu yang jelas dari dada
sehingga pusatnya. Apabila Baginda berjalan, pergerakannya condong ke
hadapan seolah-olah sedang turun dari tempat yang tinggi. Tidak pernah aku
lihat orang yang setanding dengan Baginda, samada sebelum (Baginda lahir)
mahupun selepas (Baginda meninggal dunia)” (HR at-Tirmidzi)
Hadith 7:
Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu bercerita tentang sifat Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam:
- "Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak
juga terlalu pendek. Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya.
Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan
ikal beralun. Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi
bujur telur. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu
matanya lentik. Tulang sendinya gagah, bahunya bidang. Badannya bersih
daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada
sampai pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal. Apabila Rasulullah
berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan
kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.
Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh
badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat
khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi. Rasulullah merupakan seorang
manusia yang hatinya paling pemurah. Baginda adalah orang yang
kata-katanya paling jujur. Manusia yang perangainya paling lembut dan
paling ramah dalam pergaulan. Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama,
pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya. Sesiapa yang
berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya. Orang yang
menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku
melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya
ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.” (HR at-Tirmidzi)
Hadith 8:
Hasan bin Ali berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah
kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu
`Abdullah). Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak mengetahui sifat
Rasulullah. Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat
Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda. Inilah yang dikisahkan oleh
Hind:
- “Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa.
Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari.
Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah
daripada orang yang tinggi. Kepalanya besar. Rambutnya beralun. Apabila
rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua. Jika tidak
membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun
tidak melepasi had itu. Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh
(rambut tidak lebih telinga). Warna kulitnya putih kemerah-merahan.
Dahinya luas. Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang
terpisah. Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah
ketika sedang marah. Hidung Rasulullah mancung, di hujung hidungnya ada
cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul, akan
menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).
Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar. Giginya agak
jarang, namun teratur rapi. Bulu dadanya halus. Lehernya indah, tegak dan
kuat. Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan
dadanya sama rata. Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang
sendinya besar. bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan
bersih bercahaya. Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh
seperti garisan. Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih. Kedua-dua bahu
dan dada bahagian atas berbulu halus. Kedua-dua ruas tulang tangannya
panjang, telapak kakinya lebar. Kedua-dua telapak tangan dan kakinya
terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian
tengah) tidak menyentuh tanah. Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak
melekat di kulit kakinya. Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat
dengan kesungguhan. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan
tenang dan tawadhu`. Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat
seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila
dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak. Pandangan
matanya terarah ke bawah. Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi
lebih lama daripada memandang ke langit. Apabila ada sahabat berjalan,
Rasulullah akan berjalan di belakangnya. Apabila bertemu dengan orang
lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.” (HR at-Tirmidzi)
Itulah antara beberapa hadith yang dimuatkan di dalam Syama’il Muhammadiah yang sempat saya salin berkenaan rupa bentuk fizikal Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Nombor-nombor hadith yang saya sebut di atas tidak mengikut susunan seperti dalam kitab tersebut. Ada lagi beberapa hadith yang lain…
Amat digalakkan tuan/puan memiliki buku ini kerana di dalamnya banyak lagi riwayat hadith yang menceritakan cara kehidupan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam seperti bagaimana Nabi menyikat rambutnya, rupa pakaiannya, cincinnya, serbannya, cara Rasulullah makan dan minum, wangian Rasulullah, cara Baginda berbicara, bergurau, tertawa, cara Rasulullah berbekam dan lain-lain lagi.
Semoga ALLAH mengurniakan rasa cinta dan upaya kepada kita semua untuk ikut sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. La haula wa la quwwata illa biLLAH.
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala ali Muhammad.